DUNIA DARI LENSA MyDocs
Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman
Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman
Bayangkan hidup kita jika
setiap hari dipenuhi perkara yang sama. Bayangkan tidak wujud kesedihan, suka
duka, gembira, debaran, teruja dan sebagainya. Pasti hilanglah nikmat dan makna
sebenar apa yang kita panggil sebagai kehidupan.
Sebagai seorang peminat
filem, saya menyedari bahawa dokumentari mempunyai peranan yang jelas sebagai
medium dokumentasi masyarakat dan perakam zaman. Ia menjadi rakaman penting
untuk bercerita tentang dunia dan manusianya. Kebanyakan pengarah filem cereka
terkenal dunia bermula dari genre ini.
Menyorot kembali sejarahnya,
dokumentari wujud selari dengan kewujudan filem sebagai medium manusia merakam
dan bercerita sejak lebih seabad yang lalu. Ia berkembang menjadi satu platform
propaganda yang begitu berkesan dalam separuh pertama abad ke-20. Sehingga
kini, seiring perkembangan zaman, dokumentari turut berevolusi tidak kira dari
sudut pembikinan, penceritaan mahupun fungsi dan matlamatnya.
Suatu ketika dahulu, saya
masih ingat persepsi orang di sekeliling saya, termasuk saya sendiri yang
menyatakan bahawa dokumentari adalah bentuk filem yang sangat membosankan,
malah jauh berbeza dari filem cereka. Kisah benar, fakta dan kenyataan biasanya
tidak cukup `indah` berbanding dunia ciptaan dalam cereka yang penuh warna
warni.
Apabila saya membuat
keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman, dokumentari diletak
sebagai pilihan genre paling belakang. Dokumentari Malaysia ketika itu terlalu
sinonim dengan penceritaan yang mendatar; lalu membosankan. Ilmu penceritaan
semudah menaburkan fakta dan info begitu sahaja, atau dengan kata lain cukup
sekadar bercerita; `gagap` atau `pelat `menjadi tidak penting.
Ketika itu, perihal inilah
yang membezakan dokumentari kita dengan dokumentari antarabangsa. Sebagai
contoh, saluran Discovery Network, saluran antarabangsa yang kita semua kenal mempunyai
reputasi yang tinggi, tidak mengenal dokumentari sebagai dokumentari. Mereka
sebaliknya lebih selesa memanggil ia sebagai `real-life entertainment`. Mereka memahami bahawa dengan perubahan
pengetahuan manusia tentang dunia dan alamnya, turut akan merubah `apa yang
manusia suka` dan `apa yang menyebabkan manusia suka`. Jadi, penceritaan
dokumentari harus menjadi lebih interaktif, bersebab dan mempunyai emosi yang
mampu menyentuh hati penonton.
Namun, dari sehari ke sehari,
dokumentari Malaysia semakin memperlihatkan sinar. Persepsi saya terhadap
dokumentari mula berubah. Kemunculan pengarah dan penerbit yang serius dalam
membangunkan kualiti dokumentari Malaysia membawa kesan yang positif. Nama
seperti David Moggie, Naguib Razak dan Harun Rahman memberitahu dunia bahawa
Malaysia ini kaya dengan kisah yang hanya menanti masa untuk diceritakan.
Ia seakan menjadi pemula
kepada gelombang dokumentari di Malaysia yang disusuli dengan kemunculan
penggiat-penggiat lain, muda dan tua, seperti Zan Azlee dengan gaya jurnalis,
Syirfan Indra dengan dokumentari sejarah, Jak Othman dengan dunia silat, Ahmad
Yazid yang sebati dengan kisah jenayah, Kamal Ishak dengan jiwa sinematik, Mansor
Puteh dengan roh Melayu Islamnya, dan ramai lagi.
Masing-masing berkarya dengan
kepelbagaian pendekatan dan ideologi. Namun, perbezaan itu tidak penting. Yang
lebih penting adalah dokumentari mula diraikan pada kedudukan yang sepatutnya.
Pada 26 Februari 2013, dalam
satu majlis kecil berjiwa besar, MyDocs atau Persatuan Dokumentari Malaysia
dilancarkan secara rasmi di Publika, Dutamas. Ini adalah usaha yang digerakkan
oleh sekumpulan pembikin dokumentari tempatan yang mempunyai reputasi di kalangan
penyiar antarabangsa, diketuai oleh Harun Rahman selaku Presiden.
Berbeza dari kelaziman majlis
perlancaran yang biasa kita saksikan dalam `budaya Malaysia` seperti kata aluan
yang panjang dari VIP, memotong riben, memukul gong, atau mungkin dengan gimik
persembahan bunga api, majlis pelancaran MyDocs sebaliknya diisi dengan
tayangan filem dokumentari 5 Broken
Cameras, sebuah dokumentari catatan Emad Burnat selaku pengarah yang menetap di Palestin dan
kisahnya menghadapi kekejaman rejim Zionis. Dokumentari ini menjadi finalis dalam Academy Awards 2012. Sessi
tayangan diikuti diskusi santai mengenai filem dokumentari yang sarat dengan
nilai kemanusian itu.
Mungkin masih terlalu awal
untuk saya memuji atau mengkritik MyDocs, tapi setidaknya ia menjadi simbol
harapan dokumentari Malaysia pada masa depan. Usaha melahirkan pembikin yang
lebih bijak dari penonton; sepertimana yang seharus begitu sejak sekian lama.
Pada ketika banyak persatuan
perfileman memberikan tumpuan aktiviti terhadap perihal berkempen menambah
keahlian, mesyuarat ke sana sini, menyampaikan mock cheque bantuan kebajikan kepada ahli, sessi-sessi bertemu
menteri, atau mungkin lebih sibuk merebut jawatan Presiden dan sebagainya,
MyDocs tampil berbeza dengan memberikan fokus yang lebih jelas terhadap usaha
aktiviti meningkatkan kualiti dokumentari Malaysia. Kualiti dari segenap sudut
mengikut cara, pegangan dan interpretasi masing-masing. MyDocs percaya untuk
meraikan kepelbagaian.
Aktiviti utama yang dirancang
adalah menganjurkan seberapa kerap sessi tayangan pelbagai dokumentari tempatan
dan antarabangsa, diikuti sessi diskusi bagi membicarakan tentang dokumentari
tersebut dari segenap aspek termasuklah kualiti penerbitan, gaya pengarahan dan
penceritaan, apresiasi estetika, malah juga aspek pemasaran & pembiayaan.
Selain itu, MyDocs turut
membantu dalam menjadi pemudahcara kepada para ahli untuk meneroka ruang
potensi dan hubungan baik dengan penyiar & pengedar di peringkat tempatan
dan antarabangsa. Dengan bantuan pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
(FINAS), MyDocs juga membantu mengemukakan nama ahlinya yang berpotensi untuk
menyertai delegasi Malaysia ke forum, seminar dan pasar kandungan kreatif di
seluruh dunia.
Keterujaan saya untuk
meraikan semangat MyDocs dalam majlis pelancaran malam itu sedikit terganggu
apabila dalam satu perbualan santai selepas selesai majlis, salah seorang tetamu
yang hadir dalam majlis tersebut menyatakan kepada saya bahawa usaha
meningkatkan kualiti tidak sepatutnya menjadi keutamaan MyDocs. MyDocs silap
katanya. Menurut beliau lagi, sebagai sebuah persatuan, MyDocs harus berperanan
membantu ahli untuk mendesak kerajaan supaya menyediakan peruntukan yang lebih
besar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membolehkan lebih banyak
syarikat penerbit dokumentari mendapat projek penerbitan. Katanya, tugas
melatih pembikin, itu adalah tugas universiti. Inikah yang sewajarnya pendapat yang
keluar dari mulut seorang tetamu yang merupakan seorang VIP merangkap `orang
lama` dalam bidang perfileman?
Perihal pembiayaan tidak kira
secara pelaburan, commisioning, JV
atau apa sahaja memang penting, tetapi apa manfaatnya semua itu jika kualiti
dokumentari terus terhenti pada gaya 1970-an?
Bagi saya, inilah masalah
sebenar kita. Mentaliti tinggalan projek drama swasta RTM tahun 1980-an masih
membelenggu penerbit kita, yang majoritinya masih menganggap penerbit seperti
kontraktor pembinaan; menunggu tender dibuka, berebut memenangi bidaan dan seterusnya “jika ada konkrit pasang siap
lebih bagus!”.
Momentum kebangkitan
dokumentari Malaysia dikalangan penyiar antarabangsa bermula pada pertengahan
2000-an apabila Tan Sri Dr Rais Yatim yang ketika itu menjawat jawatan menteri
memulakan inisiatif dokumentari untuk pasaran antarabangsa melalui penyelarasan
FINAS. FINAS bernasib baik kerana `berkenalan` dengan penerbit-penerbit yang
baik seperti Harun, Lina Teoh, Nandita, Lydia Lubon, Rudi Affendi Khalik dan ramai
lagi yang masih punya kewarasan bahawa gelanggang pembikinan dokumentari bukan
trek lumba lari; mengukur siapa lebih pantas, atau bukan juga pusat pembiakan
ayam; melihat ayam mana bertelur lebih banyak.
Dalam dunia hari ini yang
semakin kompleks, dan orang membikin dokumentari dengan pelbagai cara dan
tujuan, MyDocs jelas memperjuangkan apa yang paling asas dalam dokumentari;
cerita & penceritaan yang berkualiti, diikuti produksi yang tidak sekadar `visual
yang cantik di mata`, tetapi bersesuaian mendukung kisah yang dibawa.
Dunia dari kaca lensa MyDocs
lebih indah, kadangkala mendebarkan. Penuh makna dan penuh dengan duka
gembiranya, ada kesakitan dan ada kepuasan. Ada gundah gulananya. Itulah yang
membawa dokumentari lebih dekat dengan jiwa kita.