ABOUT ME

Sunday, July 15, 2012

PENYELIDIKAN INDUSTRI : MEMBINA REPUTASI INDUSTRI FILEM MALAYSIA


PENYELIDIKAN INDUSTRI :
MEMBINA REPUTASI  INDUSTRI FILEM MALAYSIA

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Industri kandungan kreatif global dan Malaysia berkembang pesat, tetapi adakah industri filem Malaysia (dalam konteks ini penulis klasifikasikan sebagai filem cereka & filem dokumentari) turut berkembang?

Jika berkembang, adakah kadar pertumbuhannya pada kadar yang sepatutnya atau selari dengan kadar pertumbuhan industri kandungan kreatif keseluruhannya?

Adakah penyertaan pelabur baru  semakin meningkat atau hanya bergantung kepada pelabur  sedia ada? Dari pelabur sedia, sejauh mana  penglibatan syarikat senaraian awam (public listed  company) berbanding syarikat persendirian (private company) yang dilihat lebih menyerlah kedudukannya? Berapa peratusan dan  kadar peningkatan dari pelabur korporat, dan jika masih rendah, adakah ia memperlihatkan  ketidakyakinan dari pemodal korporat ini terhadap industri filem  negara?

Persoalan-persoalan di atas bukan berniat untuk menafikan pembangunan industri filem Malaysia, tetapi apa yang ingin penulis sampaikan, kita tidak harus melihat segalanya secara makro, tetapi harus mempunyai statistik terperinci dalam mengkaji perkembangan industri filem tanah air. Hanya melalui ketelitian kita dalam melihat dan mentafsir sesuatu gelombang tersebut, barulah kita dapat memahami secara tepat sesuatu persoalan sekaligus membantu kita dalam membuat perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang tepat, relevan dan praktikal.

Semua jawapan kepada persoalan diatas hanya dapat dijawab melalui penyelidikan industri (industrial research) yang mendalam dan terperinci.

Penyelidikan industri yang penulis maksudkan adalah penyelidikan aplikasi (applied research)  yang menjurus penyelidikan industri filem dalam konteks sebuah industri. Pemerhatian rambang penulis menjelaskan bahawa terdapat kekosongan  yang besar dalam bidang ini. Kebanyakan institut pengajian tinggi menjurus penyelidikan filem dalam konteks pengajian sosial (social studies) mahupun pengajian filem (film studies).

Oleh kerana itu, langkah proaktif harus diambil bagi menangani hal ini, tanpa menafikan usaha dan kepentingan penyelidikan dalam konteks lain yang dinyatakan di atas.


Diversiti & Hibriditi Industri Filem

Semua sedia maklum, industri filem merupakan salah satu bidang dalam industri kandungan kreatif yang penuh kepelbagaian. Dalam senario semasa, industri filem tidak lagi harus dilihat secara konvensional yang hanya berkisar dalam penerbitan, pengedaran & pemameran semata-mata. Ia tidak dapat lari dari terlibat sama dalam silang-industri (industrial-cross) dengan industri yang lain.

Kita tidak boleh melihat senario ini secara menyeluruh semata-mata, sebaliknya harus mempunyai maklumat terperinci bagi setiap bidang bagi memastikan setiap daripadanya mampu digabung-jalin secara sebaiknya.

Hubungkait industri filem dalam bidang teknologi (peralatan produksi, medium & aplikasi tayangan), harta intelek (penjenamaan, merchandise, pengiklanan), sumber manusia (bakat kreatif, pengurusan, teknikal), perlancongan (lokasi penggambaran), penyelesaian perniagaan/ pelaburan dan sebagainya memerlukan pemahaman yang terperinci kepada pengurus industri ini secara profesional.

Hal ini telah menjadikan industri filem sebagai sebuah industri yang semakin kompleks. Ini menambahkan lagi keyakinan penulis bahawa penyelidikan merupakan satu aspek yang tidak harus diketepikan. Jika tidak dimulakan sekarang, industri ini akan menjadi sebagai sebuah industri yang `semakin kurang difahami` (pastinya menyukarkan sebarang keputusan pelaburan ke dalam industri ini terutama di kalangan potensi pelabur korporat).



Rujukan Lanksap Industri

Penulis amat gembira melihat kepemimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional  (FINAS) kini semakin aktif menggerakkan sinergi industri filem Malaysia dengan beberapa inisiatif kerajaan yang lain seperti Program Tranformasi Ekonomi (ETP), Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Malaysia). Hal ini telah lama penulis suarakan melalui pelbagai hasil penulisan terdahulu. Akhirnya, kepemimpinan FINAS telah menggerakkan hal ini secara besar-besaran. Dalam usaha tersebut, penulis mencadangkan beberapa hal lain yang harus diberikan perhatian oleh pihak FINAS.

Kita telah mempunyai pelbagai program dan pelan induk pembangunan industri termasuklah Dasar Filem Negara (DFN), Dasar Industri Kreatif (DIKN) dan inisiatif-inisiatif di atas. Namun, yang menjadi permasalahan utama, pelan tindakan dirangka dan dipacu secara tidak bersepadu. Integrasi menjadi masalah utama dalam perancangan pelan induk dan pelan tindakan yang dirangka. Sebagai contoh, pelan tindakan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dilihat tidak selari dengan yang telah digariskan dalam NKEA Kandungan Komunikasi & Infrastruktur ETP.  Pada penulis, ini yang membezakan industri kita dengan industri maju yang lain.

Hal ini mungkin tidak dapat dikesan jika melihat secara rambang. Ia hanya akan dapat dilihat sekiranya penyelidikan industri dilakukan oleh golongan yang pakar dan arif dalam industri kandungan kreatif konteks industri.

Selain itu, hasil penyelidikan industri yang dijalankan bakal membantu usaha memperlengkapkan `pusat sumber` untuk para pengamal bagi memahami lanskap industri filem Malaysia. Ini termasuklah dari aspek ekonomi, teknologi, penontonan, harta intelek dan lain-lain. Ia seterusnya dapat membantu dalam menjadi rujukan mengenai industri kepada pelbagai bidang dan pelbagai pihak termasuklah penyelidik, mahasiswa, penggiat, pentadbir, dan sebagainya. Pastinya ia akan menyuburkan budaya penyelidikan dan pembangunan  (R&D) dalam industri ini, sepertimana yang diamalkan  oleh industri maju di serata dunia.

Bidang penyelidikan industri ini mempunyai kepentingan yang amat besar, tidak kira secara langsung mahupun secara tidak secara langsung. Selain dari hal di atas, penulis melihat satu kepentingan tidak secara langsung, tetapi memberikan kesan yang amat besar terhadap pembangunan industri ini dalam jangka masa panjang; ialah bagi membina keyakinan masyarakat umum dan potensi pelabur terhadap keseriusan industri filem Malaysia.


Persepsi Masyarakat Umum

Harus diakui, masyarakat Malaysia, termasuk golongan menengah dan ke atas, masih belum dapat melihat industri filem sebagai satu industri yang serius. Mereka masih belum dapat melihat bidang ini setaraf kerjaya profesional yang lain seperti bidang perubatan, kejuruteraan, dan lain-lain. Tidak dinafikan gelombang industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan industri kreatif mula membuka mata umum, namun masih ramai belum dapat melihat kedudukan industri filem dalam gelombang ini.

Mungkin pada pandangan sesetengah pihak, persepsi masyarakat umum khususnya golongan yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan industri filem tidak memberikan impak besar terhadap pembangunan industri selain dari hanya menjadi penonton dan pengguna.

Tetapi harus disedari bahawa, dalam usaha menggalak bakat serta barisan pelapis dalam industri ini, tidak kira dalam aspek kreatif serta pengurusan, masyarakat umum harus mempunyai keyakinan terhadap industri ini sebagai industri yang serius.

Hanya setelah masyarakat, khususnya golongan ibu bapa  mempunyai keyakinan terhadap industri ini sebagai sebuah industri yang dalam kata mudahnya, mampu menjamin masa depan, barulah mereka akan memberikan galakan, atau sekurangnya kebebasan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang ini secara serius.

Ini seterusnya akan memberikan ruang untuk para pelapis industri ini mendapat pendidikan formal dalam bidang ini seawal di peringkat remaja, mahupun di peringkat universiti. Oleh yang demikian, dengan memperlengkapkan industri ini dengan budaya penyelidikan, ini dapat membantu menarik `kepercayaan` ini.

Bila ini semua menjadi kenyataan, industri filem tidak akan ketandusan  pengurus, penyelidik, pemudahcara, perunding dan pengedar dan lain-lain yang terlatih secara formal dan  profesional. Barisan ini akan membantu para karyawan/ pengarah filem dalam mengerjakan hasil seni mereka secara penuh telus dan jujur.


Keyakinan Pelabur

Seperti yang seringkali penulis tegaskan, industri didukung oleh dua elemen utama iaitu pasaran dan pelaburan.

Seiring matlamat pentadbir industri dalam menggalakkan pelaburan dalam industri ini, tidak kira Pelaburan Langsung Domestik (DDI) mahupun Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelabur harus mempunyai keyakinan terhadap industri ini dalam dua elemen utama; kekukuhan pasaran dan keanjalan terhadap sebarang perubahan trend pasaran.

Pelabur akan melihat kepada dua elemen ini. Hanya setelah keyakinan terhadap sesebuah industri, pilihan pelaburan diputuskan. Jika kita gagal memperlihatkan industri filem di Malaysia sebagai sebuah industri yang mempunyai reputasi, kita akan kehilangan potensi pelaburan yang mampu menjana perkembangan industri.

Lebih teruk dari itu, kita akan kehilangan keyakinan dari para pihak pengurusan tertinggi kerajaan kita sendiri tentang kepentingan yang mampu industri ini mainkan dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Jika ini berlaku, pastinya sukar bagi kita menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai dan sebagainya kepada potensi pelabur. Situasi timbal balik ini akhirnya membuatkan industri filem Malaysia semakin lama semakin perlahan dan hilang daya saingnya.

Selain itu,  sebagai sebuah industri, industri filem hanya mampu membangun secara konsisten dengan `kesetiaan` dari pelabur. Pelabur yang serius akan tetap bertahan dalam industri untuk bersama-sama pentadbir mendepani sebarang isu mahupun senario perubahan dalam industri serta mencari penyelesaian yang paling ideal. Kita tidak mahu pelabur `bidan terjun` atau `mee segera` yang hanya mengambil kesempatan dalam perkembangan industri ini. Golongan ini hanya akan menjadikan industri dalam hala tuju yang tidak menentu.

Usaha menarik pelaburan asing juga adalah salah satu pendekatan yang relevan dalam memperkembang industri filem di Malaysia. Penyertaan dari syarikat gergasi penerbitan dari luar negara pasti memberikan nilai tambah kepada industri dari sudut kredibiliti. Namun, secara perkiraan mudahnya, kita sendiri dapat melihat kesukaran untuk kita menarik pelabur asing jika syarikat modal teroka (venture capital) di negara kita sendiri kurang yakin dengan industri ini.

Penulis amat berharap, seiring perkembangan bidang penyelidikan industri dalam industri filem Malaysia, ia akan memberikan persepsi positif terhadap industri ini dikalangan pelabur  korporat ini.


Peranan Pentadbir & Institusi Penyelidikan

Jika dilihat dari sudut pandang  pentadbir, penulis dapat melihat peningkatan kesedaran terhadap  penyelidikan industri yang semakin subur dikalangan pentadbir industri. Ini termasuklah di organisasi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Unit Perlaksanaan & Pengurusan Prestasi (PEMANDU), Multimedia Development Corporation (MDEC) dan sebagainya.

Namun, harus diakui usaha dari pihak pentadbir sahaja tidak mencukupi. Organisasi ini adalah badan pentadbir yang mempunyai bidang tugas yang amat luas dan mencabar. Tugas mentadbir sebuah industri yang berpotensi dan berkembang ini adalah suatu tugas yang bukan mudah. Mereka tidak seharusnya dibebankan lagi dengan penyelidikan industri yang pastinya menuntut skill dan kemahiran yang berbeza.

Penulis mencadangkan agar badan pentadbir ini bagi mendapatkan kerjasama dan khidmat dari institut pengajian tinggi dan organisasi penyelidikan yang berkecuali dalam mendapatkan maklumat berkaitan mahupun menjalankan penyelidikan bagi pihak mereka. Hasil penyelidikan dari badan berkecuali, meski dibiayai oleh organisasi pentadbir, pastinya mempunyai reputasi dan kredibiliti lebih tinggi dari aspek ketepatan dan ketelusan.


Penutup

Boleh disimpulkan,  idea besar yang ingin penulis sampaikan di atas adalah berkisar ke arah membina sebuah industri yang mempunyai reputasi tinggi. Penyelidikan industri mampu salah satu elemen yang membantu ke arah usaha ini.

Penyelidikan akan memberikan reputasi yang positif terhadap industri filem Malaysia kepada semua pihak.  Lebih penting dari itu, ia bakal menyediakan maklumat-maklumat tepat dan terperinci dalam membantu menyediakan tapak asas yang kukuh terhadap gerakan pembangunan industri ini.

Semoga gandingan semua pihak termasuk pentadbir, penyelidik, penggiat, pelabur, penonton dan sebagainya mampu membina industri filem sebagai sebuah industri yang kondusif dan kompetatif, sekaligus memperkukuh industri filem dalam `meraikan` peradaban abad ke-21.

CABARAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA TAHUN 2012

CABARAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA TAHUN 2012 : 
MEMUPUK APRESIASI PENONTON DALAM MEMBINA PASARAN KONDUSIF 
 Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

Pengenalan

Filem adalah sebuah bidang yang sangat unik. Sejarah filem dunia berusia lebih seratus tahun telah melalui pelbagai perubahan dari seluloid hingga ke digital. Filem bukan sekadar produk yang diniagakan bagi tujuan kewangan, namun mempunyai nilai yang cukup besar dari aspek sosial dan juga estetika. Ia bersifat maya, melangkau ruang dan waktu. Meski dirujuk sebagai karya seni serta mempunyai asas sosial yang kuat, filem juga tetap relevan dari perspektif sistem kitaran ekonomi. Dalam bidang akademik sendiri, filem mampu dikaji dari pelbagai sudut. Dari sudut kajian indsutri (industrial research), pengajian sosial (social studies), pengajian filem (film studies), penerbitan filem (film production) dan pelbagai lagi. Ia boleh dikaji secara kuantitatif mahupun kualitatif, boleh dihujah sebagai pure research mahupun sebagai applied research.

Tahun 2012. Jika filem Laila Majnun terbitan tahun 1932 diambil kira sebagai filem pertama Malaysia, industri filem tempatan akan menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada tahun ini. Ia satu tempoh yang cukup panjang. Dengan senario semasa, filem kini telah menjadi sebuah industri. Dalam usaha berterusan membangun industri filem, kita harus semakin membuka mata bahawa filem bukan hanya berkisar kepada tayangan di panggung. Kecanggihan teknologi yang semakin hari semakin meningkat termasuklah aplikasi mudah alih, jaringan IPTV, pay-per-view TV dan kemunculan talian 4G sedikit sebanyak mula mengalihkan peranan panggung wayang sebagai platform penontonan filem kepada platform yang lain. Malah, tidak mustahil bahawa suatu hari nanti, dengan kemunculan pelbagai lagi aplikasi lain, mungkin panggung wayang sudah tidak relevan sebagai medium penontonan. Namun, walaupun begitu, filem akan tetap wujud dalam kondisi dan pendekatan penyebaran yang berbeza dan semasa. 

Itulah kompleksiti filem dalam dunia hari ini. 

Oleh itu, dalam meneruskan kelangsungan `penerimaaan` filem dalam konteks semasa dan akan datang, beberapa perkara harus diambil kira. Industri filem khususnya di Malaysia memerlukan pengurusan dan pentadbiran oleh golongan yang memahami tuntutan dari kedua-dua aspek, apresiasi filem serta keperluan sistem ekonomi. 


Pelaburan 

Sejarah membuktikan sesuatu bidang itu hanya akan bertahan apabila ia mempunyai `tempat` dan memainkan peranan dalam sistem kitaran ekonomi. Banyak contoh seni persembahan terdahulu yang semakin pupus apabila gagal bersaing dalam sistem kitaran ekonomi ini. Kepupusan beberapa persembahan tradisional boleh dilihat sebagai contoh yang sesuai dalam hal ini. 

Oleh yang demikian, dalam memainkan peranan dalam kitaran tersebut, kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang usaha menggalakkan pelaburan. Pelaburan menjadi kata kunci paling penting dalam membina daya tahan industri filem, sekaligus memastikan filem terus relevan dalam kehidupan masyarakat semasa. 

Dalam konteks industri filem Malaysia semasa, hasil tinjauan penulis pada tahun penghujung tahun 2010 mendapati bahawa industri filem tempatan masih dikuasai oleh pelaburan langsung tempatan (DDI). Tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh pelabur tempatan, industri filem Malaysia khususnya bagi filem cereka harus turut menggalak ruang dan peluang bagi pelaburan langsung luar negara (FDI). Hal ini penting dalam terus mempertingkatkan nilai dagangan industri ke tahap lebih tinggi, sekaligus memainkan peranan penting dalam Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi pelan induk pembangunan ekonomi negara kini. 

Dalam senario terkini, penulis dapat melihat kefahaman dan keseriusan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melalui Festival Dokumentari FINAS dalam menggalak pelaburan luar negara untuk industri dokumentari tempatan. Ini termasuklah dalam usaha menggalak kerjasama secara commisioning, pelaburan serta penerbitan bersama (co-production) melalui pelbagai aturcara yang disusun dalam acara tersebut.

Usaha dan pendekatan yang baik ini harus turut diaplikasi dalam Festival Filem Malaysia pada masa akan datang. Ia akan menjadikan festival filem bukan sekadar tempat `berpesta` tetapi turut membina apresiasi filem yang tinggi dalam masyarakat penonton serta membuka ruang kepada potensi pelaburan yang baru kepada industri filem cereka yang selama ini terlalu bergantung kepada pelaburan tempatan dan juga skim pinjaman yang dikendalikan oleh pihak kerajaan melalui SME Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).


Apresiasi Filem 

Tinjauan rambang penulis mendapati, dalam membicarakan aspek pembangunan industri, ramai berpendapat bahawa usaha membina apresiasi, budaya filem dan `celik filem` dalam masyarakat adalah satu aspek dalam jalur matlamat yang lain. Pembangunan apresisasi filem selalunya dilihat sebagai satu usaha kemasyarakatan yang tidak bersangkutan dengan pembangunan industri yang jelasnya mengutamakan kira-kira dan untung-rugi dalam nilai Ringgit. Oleh yang demikian, tanggungjawab membina budaya `celik filem` ini sering diserahkan kepada pihak kerajaan semata-mata.

Namun, dalam hal ini, penulis berpendapat sebaliknya. Dalam kita asyik dalam usaha membina industri filem sebagai sebuah industri, usaha membudayakan filem dalam masyarakat adalah antara kompenen utama yang harus diambil kira. Dengan wujudnya sebuah masyarakat dan komuniti yang menghargai, mempunyai budaya apresiasi dan dalam kata yang mudah sebagai `celik filem`, ia bakal membina sebuah budaya penontonan yang sihat. 

Meskipun hasil penulisan penulis sebelum ini termasuk dalam majalah ekonomi tempatan iaitu Dewan Ekonomi begitu menegaskan kepentingan menggalak usaha meningkatkan jumlah dagangan pasaran dan kutipan filem tempatan, namun ingin penulis tegaskan disini bahawa ia bukan bermakna penulis menggalakkan penerbitan `mi segera` berasaskan tema dan genre popular semata-mata hingga mengabaikan kondisi sesebuah filem sebagai sebuah filem. 

Kini, dalam landasan industri filem yang semakin stabil, sudah masanya para penerbit dan pembikinan untuk tidak hanya memikirkan keuntungan jangka masa pendek, tetapi juga usaha membina budaya filem sebenar dalam masyarakat melalui penerbitan bergenre dan berkonsep pelbagai termasuk pendekatan alternatif yang pastinya akan membantu usaha membina keanjalan pasaran filem bagi tempoh masa yang lebih panjang.

Kegagalan dalam memahami dan bertindak dalam hal ini akan menjadikan industri filem tempatan sebagai industri yang bermusim, tidak mempunyai keanjalan situasi semasa serta gagal membina masyarakat penonton yang benar-benar menghargai filem sebuah sebuah filem. Jika ini berlaku, pasaran filem Malaysia hanya akan dipenuhi oleh penonton yang boleh dikategorikan sebagai penonton yang menonton sebagai aktiviti hiburan ringan, serta tidak mempunyai budaya penontonan yang tinggi. Tidak mustahil, sekiranya hal ini berterusan, industri filem tempatan akan lumpuh apabila muncul bentuk hiburan baru yang lebih interaktif dan terkini hasil perkembangan teknologi semasa.

Sudah pastinya, dalam sebuah masyarakat yang mempunyai tahap penghargaan yang tinggi terhadap filem, ia sekaligus bakal membina sebuah pasaran filem yang lebih kondusif. Pasaran filem akan berkembang dan membesar, menjadi lebih kukuh dan anjal terhadap sebarang perubahan gaya hidup semasa, sekaligus menawarkan kepelbagaian segmen pasaran termasuklah pasaran terhadap karya-karya alternatif. Saluran Sundace Channel yang kini ditayangkan hampir di seluruh dunia menjadi contoh terbaik bahawa karya alternatif mampu menjadi satu segmen pasaran yang berpotensi. 

Budaya filem yang mekar dalam masyarakat juga sekaligus akan membuka ruang kepada karyawan tempatan bagi memenuhi kedua-dua criteria, memenuhi kehendak pasaran sekaligus keperluan di festival antarabangsa. 


Pusat Sumber

Industri Selain membina apresiasi dalam masyarakat, satu aspek lagi yang kelihatan kurang diberi perhatian dalam pembangunan industri filem di Malaysia ialah kepentingan sebuah pusat sumber yang menjadi pusat sehenti rujukan kepada para penggiat, pengkaji dan pelabur dalam industri. Sebuah industri yang serius, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai sebuah pusat sumber (resources centre) bagi industri filem. Sepertimana yang pernah dicapai dalam resolusi Forum Karyawan Filem Muda 2012 yang berlangsung baru-baru ini, pihak FINAS dilihat sebagai pihak paling ideal untuk memikul tanggungjawab ini. 

Pusat sumber yang lengkap termasuk dari segi statistik industri, hasil kajian/ penyelidikan, serta dokumentasi maklumat yang berkaitan industri filem akan membina sebuah industri yang lebih serius, sekaligus membina keyakinan pelabur luar negara terhadap keseriusan industri ini di Malaysia. 


Penutup

Dengan situasi ekonomi yang diramal tidak menentu sepanjang tahun 2012 ini, industri filem Malaysia bakal menghadapi cabaran yang besar sepanjang tahun ini. Namun, dengan landasan pembangunan industri yang semakin stabil, diharapkan pihak FINAS bersama agensi lain yang berkaitan mampu untuk mengendalikan industri ini dengan lebih terkawal serta progresif. Industri kreatif merupakan sebuah fenomena global dan bergerak dengan amat pantas. Kegagalan kita bersaing atas hanya alasan birokrasi pentadbiran adalah sesuatu yang amat harus dielakkan demi reputasi industri ini. Inilah bebanan yang harus dipikul oleh para pentadbir industri, dan harus disokong dengan penuh semangat dan tanpa berbelah bagi oleh penggiat dan karyawan filem Malaysia.


(Artikel untuk majalah Sinema  Malaysia, edisi Januari 2012)