PENYELIDIKAN INDUSTRI :
MEMBINA REPUTASI INDUSTRI FILEM MALAYSIA
Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman
Pengenalan
Industri kandungan kreatif
global dan Malaysia berkembang pesat, tetapi adakah industri filem Malaysia (dalam
konteks ini penulis klasifikasikan sebagai filem cereka & filem
dokumentari) turut berkembang?
Jika berkembang, adakah kadar
pertumbuhannya pada kadar yang sepatutnya atau selari dengan kadar pertumbuhan
industri kandungan kreatif keseluruhannya?
Adakah penyertaan pelabur
baru semakin meningkat atau hanya
bergantung kepada pelabur sedia ada?
Dari pelabur sedia, sejauh mana penglibatan
syarikat senaraian awam (public
listed company) berbanding syarikat
persendirian (private company) yang
dilihat lebih menyerlah kedudukannya? Berapa peratusan dan kadar peningkatan dari pelabur korporat, dan
jika masih rendah, adakah ia memperlihatkan
ketidakyakinan dari pemodal korporat ini terhadap industri filem negara?
Persoalan-persoalan di atas bukan
berniat untuk menafikan pembangunan industri filem Malaysia, tetapi apa yang
ingin penulis sampaikan, kita tidak harus melihat segalanya secara makro,
tetapi harus mempunyai statistik terperinci dalam mengkaji perkembangan
industri filem tanah air. Hanya melalui ketelitian kita dalam melihat dan
mentafsir sesuatu gelombang tersebut, barulah kita dapat memahami secara tepat
sesuatu persoalan sekaligus membantu kita dalam membuat perancangan jangka panjang
dan jangka pendek yang tepat, relevan dan praktikal.
Semua jawapan kepada
persoalan diatas hanya dapat dijawab melalui penyelidikan industri (industrial research) yang mendalam dan
terperinci.
Penyelidikan industri yang
penulis maksudkan adalah penyelidikan aplikasi (applied research) yang
menjurus penyelidikan industri filem dalam konteks sebuah industri. Pemerhatian
rambang penulis menjelaskan bahawa terdapat kekosongan yang besar dalam bidang ini. Kebanyakan
institut pengajian tinggi menjurus penyelidikan filem dalam konteks pengajian
sosial (social studies) mahupun
pengajian filem (film studies).
Oleh kerana itu, langkah
proaktif harus diambil bagi menangani hal ini, tanpa menafikan usaha dan
kepentingan penyelidikan dalam konteks lain yang dinyatakan di atas.
Diversiti &
Hibriditi Industri Filem
Semua sedia maklum, industri
filem merupakan salah satu bidang dalam industri kandungan kreatif yang penuh
kepelbagaian. Dalam senario semasa, industri filem tidak lagi harus dilihat
secara konvensional yang hanya berkisar dalam penerbitan, pengedaran &
pemameran semata-mata. Ia tidak dapat lari dari terlibat sama dalam silang-industri
(industrial-cross) dengan industri
yang lain.
Kita tidak boleh melihat
senario ini secara menyeluruh semata-mata, sebaliknya harus mempunyai maklumat
terperinci bagi setiap bidang bagi memastikan setiap daripadanya mampu
digabung-jalin secara sebaiknya.
Hubungkait industri filem
dalam bidang teknologi (peralatan produksi, medium & aplikasi tayangan),
harta intelek (penjenamaan, merchandise,
pengiklanan), sumber manusia (bakat kreatif, pengurusan, teknikal),
perlancongan (lokasi penggambaran), penyelesaian perniagaan/ pelaburan dan
sebagainya memerlukan pemahaman yang terperinci kepada pengurus industri ini
secara profesional.
Hal ini telah menjadikan
industri filem sebagai sebuah industri yang semakin kompleks. Ini menambahkan
lagi keyakinan penulis bahawa penyelidikan merupakan satu aspek yang tidak
harus diketepikan. Jika tidak dimulakan sekarang, industri ini akan menjadi
sebagai sebuah industri yang `semakin kurang difahami` (pastinya menyukarkan
sebarang keputusan pelaburan ke dalam industri ini terutama di kalangan potensi
pelabur korporat).
Rujukan Lanksap Industri
Penulis amat gembira melihat
kepemimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
(FINAS) kini semakin aktif menggerakkan sinergi industri filem Malaysia
dengan beberapa inisiatif kerajaan yang lain seperti Program Tranformasi
Ekonomi (ETP), Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Wilayah Pembangunan Iskandar
(Iskandar Malaysia). Hal ini telah lama penulis suarakan melalui pelbagai hasil
penulisan terdahulu. Akhirnya, kepemimpinan FINAS telah menggerakkan hal ini
secara besar-besaran. Dalam usaha tersebut, penulis mencadangkan beberapa hal
lain yang harus diberikan perhatian oleh pihak FINAS.
Kita telah mempunyai pelbagai
program dan pelan induk pembangunan industri termasuklah Dasar Filem Negara
(DFN), Dasar Industri Kreatif (DIKN) dan inisiatif-inisiatif di atas. Namun, yang
menjadi permasalahan utama, pelan tindakan dirangka dan dipacu secara tidak bersepadu.
Integrasi menjadi masalah utama dalam perancangan pelan induk dan pelan
tindakan yang dirangka. Sebagai contoh, pelan tindakan Dasar Industri Kreatif
Negara (DIKN) dilihat tidak selari dengan yang telah digariskan dalam NKEA Kandungan
Komunikasi & Infrastruktur ETP. Pada
penulis, ini yang membezakan industri kita dengan industri maju yang lain.
Hal ini mungkin tidak dapat
dikesan jika melihat secara rambang. Ia hanya akan dapat dilihat sekiranya
penyelidikan industri dilakukan oleh golongan yang pakar dan arif dalam industri
kandungan kreatif konteks industri.
Selain itu, hasil
penyelidikan industri yang dijalankan bakal membantu usaha memperlengkapkan
`pusat sumber` untuk para pengamal bagi memahami lanskap industri filem
Malaysia. Ini termasuklah dari aspek ekonomi, teknologi, penontonan, harta
intelek dan lain-lain. Ia seterusnya dapat membantu dalam menjadi rujukan
mengenai industri kepada pelbagai bidang dan pelbagai pihak termasuklah
penyelidik, mahasiswa, penggiat, pentadbir, dan sebagainya. Pastinya ia akan
menyuburkan budaya penyelidikan dan pembangunan
(R&D) dalam industri ini, sepertimana yang diamalkan oleh industri maju di serata dunia.
Bidang penyelidikan industri
ini mempunyai kepentingan yang amat besar, tidak kira secara langsung mahupun
secara tidak secara langsung. Selain dari hal di atas, penulis melihat satu
kepentingan tidak secara langsung, tetapi memberikan kesan yang amat besar
terhadap pembangunan industri ini dalam jangka masa panjang; ialah bagi membina
keyakinan masyarakat umum dan potensi pelabur terhadap keseriusan industri
filem Malaysia.
Persepsi Masyarakat Umum
Harus diakui, masyarakat
Malaysia, termasuk golongan menengah dan ke atas, masih belum dapat melihat
industri filem sebagai satu industri yang serius. Mereka masih belum dapat
melihat bidang ini setaraf kerjaya profesional yang lain seperti bidang
perubatan, kejuruteraan, dan lain-lain. Tidak dinafikan gelombang industri
teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan industri kreatif mula membuka mata
umum, namun masih ramai belum dapat melihat kedudukan industri filem dalam
gelombang ini.
Mungkin pada pandangan
sesetengah pihak, persepsi masyarakat umum khususnya golongan yang tidak
mempunyai hubungan langsung dengan industri filem tidak memberikan impak besar
terhadap pembangunan industri selain dari hanya menjadi penonton dan pengguna.
Tetapi harus disedari bahawa,
dalam usaha menggalak bakat serta barisan pelapis dalam industri ini, tidak
kira dalam aspek kreatif serta pengurusan, masyarakat umum harus mempunyai
keyakinan terhadap industri ini sebagai industri yang serius.
Hanya setelah masyarakat,
khususnya golongan ibu bapa mempunyai
keyakinan terhadap industri ini sebagai sebuah industri yang dalam kata
mudahnya, mampu menjamin masa depan, barulah mereka akan memberikan galakan,
atau sekurangnya kebebasan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang ini
secara serius.
Ini seterusnya akan
memberikan ruang untuk para pelapis industri ini mendapat pendidikan formal
dalam bidang ini seawal di peringkat remaja, mahupun di peringkat universiti.
Oleh yang demikian, dengan memperlengkapkan industri ini dengan budaya
penyelidikan, ini dapat membantu menarik `kepercayaan` ini.
Bila ini semua menjadi
kenyataan, industri filem tidak akan ketandusan
pengurus, penyelidik, pemudahcara, perunding dan pengedar dan lain-lain yang
terlatih secara formal dan profesional.
Barisan ini akan membantu para karyawan/ pengarah filem dalam mengerjakan hasil
seni mereka secara penuh telus dan jujur.
Keyakinan Pelabur
Seperti yang seringkali
penulis tegaskan, industri didukung oleh dua elemen utama iaitu pasaran dan
pelaburan.
Seiring matlamat pentadbir
industri dalam menggalakkan pelaburan dalam industri ini, tidak kira Pelaburan
Langsung Domestik (DDI) mahupun Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelabur harus
mempunyai keyakinan terhadap industri ini dalam dua elemen utama; kekukuhan
pasaran dan keanjalan terhadap sebarang perubahan trend pasaran.
Pelabur akan melihat kepada
dua elemen ini. Hanya setelah keyakinan terhadap sesebuah industri, pilihan
pelaburan diputuskan. Jika kita gagal memperlihatkan industri filem di Malaysia
sebagai sebuah industri yang mempunyai reputasi, kita akan kehilangan potensi
pelaburan yang mampu menjana perkembangan industri.
Lebih teruk dari itu, kita
akan kehilangan keyakinan dari para pihak pengurusan tertinggi kerajaan kita
sendiri tentang kepentingan yang mampu industri ini mainkan dalam mencapai
status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Jika ini berlaku,
pastinya sukar bagi kita menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian
cukai dan sebagainya kepada potensi pelabur. Situasi timbal balik ini akhirnya
membuatkan industri filem Malaysia semakin lama semakin perlahan dan hilang
daya saingnya.
Selain itu, sebagai sebuah industri, industri filem hanya
mampu membangun secara konsisten dengan `kesetiaan` dari pelabur. Pelabur yang
serius akan tetap bertahan dalam industri untuk bersama-sama pentadbir
mendepani sebarang isu mahupun senario perubahan dalam industri serta mencari
penyelesaian yang paling ideal. Kita tidak mahu pelabur `bidan terjun` atau
`mee segera` yang hanya mengambil kesempatan dalam perkembangan industri ini.
Golongan ini hanya akan menjadikan industri dalam hala tuju yang tidak menentu.
Usaha menarik pelaburan asing
juga adalah salah satu pendekatan yang relevan dalam memperkembang industri
filem di Malaysia. Penyertaan dari syarikat gergasi penerbitan dari luar negara
pasti memberikan nilai tambah kepada industri dari sudut kredibiliti. Namun, secara
perkiraan mudahnya, kita sendiri dapat melihat kesukaran untuk kita menarik
pelabur asing jika syarikat modal teroka (venture
capital) di negara kita sendiri kurang yakin dengan industri ini.
Penulis amat berharap,
seiring perkembangan bidang penyelidikan industri dalam industri filem
Malaysia, ia akan memberikan persepsi positif terhadap industri ini dikalangan pelabur
korporat ini.
Peranan Pentadbir & Institusi Penyelidikan
Jika dilihat dari sudut
pandang pentadbir, penulis dapat melihat
peningkatan kesedaran terhadap
penyelidikan industri yang semakin subur dikalangan pentadbir industri.
Ini termasuklah di organisasi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
(FINAS), Unit Perlaksanaan & Pengurusan Prestasi (PEMANDU), Multimedia
Development Corporation (MDEC) dan sebagainya.
Namun, harus diakui usaha
dari pihak pentadbir sahaja tidak mencukupi. Organisasi ini adalah badan pentadbir
yang mempunyai bidang tugas yang amat luas dan mencabar. Tugas mentadbir sebuah
industri yang berpotensi dan berkembang ini adalah suatu tugas yang bukan
mudah. Mereka tidak seharusnya dibebankan lagi dengan penyelidikan industri
yang pastinya menuntut skill dan kemahiran yang berbeza.
Penulis mencadangkan agar badan
pentadbir ini bagi mendapatkan kerjasama dan khidmat dari institut pengajian
tinggi dan organisasi penyelidikan yang berkecuali dalam mendapatkan maklumat
berkaitan mahupun menjalankan penyelidikan bagi pihak mereka. Hasil
penyelidikan dari badan berkecuali, meski dibiayai oleh organisasi pentadbir,
pastinya mempunyai reputasi dan kredibiliti lebih tinggi dari aspek ketepatan
dan ketelusan.
Penutup
Boleh disimpulkan, idea besar yang ingin penulis sampaikan di
atas adalah berkisar ke arah membina sebuah industri yang mempunyai reputasi
tinggi. Penyelidikan industri mampu salah satu elemen yang membantu ke arah usaha
ini.
Penyelidikan akan memberikan
reputasi yang positif terhadap industri filem Malaysia kepada semua pihak. Lebih penting dari itu, ia bakal menyediakan
maklumat-maklumat tepat dan terperinci dalam membantu menyediakan tapak asas
yang kukuh terhadap gerakan pembangunan industri ini.
Semoga gandingan semua pihak
termasuk pentadbir, penyelidik, penggiat, pelabur, penonton dan sebagainya mampu
membina industri filem sebagai sebuah industri yang kondusif dan kompetatif,
sekaligus memperkukuh industri filem dalam `meraikan` peradaban abad ke-21.