ABOUT ME

Thursday, April 28, 2011

PASARAN & PELABURAN INDUSTRI FILEM CEREKA MALAYSIA

PASARAN & PELABURAN INDUSTRI FILEM CEREKA MALAYSIA :

PERMASALAHAN & PELUANG

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Sejak akhir-akhir ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seringkali menyuarakan bahawa ekonomi negara harus mengubah pendekatan dari terlalu bergantung kepada pleaburan langsung asing (FDI) kepada pelaburan langsung domestik (DDI). Ia sebenarnya memberi gambaran bagaimana lanskap ekonomi global semasa kini telah berubah. Ekonomi harus diberi tafsiran dan pendekatan baru untuk mengendalikannya. Seiring dengan itu, perubahan kitaran ini juga memperlihatkan bagaimana industri kreatif menjadi semakin penting dan memainkan peranan besar dalam kitaran ekonomi global.

Kementerian Penerangan, Kebudayaan & Kebudayaan baru-baru ini mengumumkan bahawa industri kreatif negara menyumbang sejumlah RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Negara Singapura menyasarkan industri kreatif dan kandungan mereka akan menyumbang 10% dari GDP mereka dalam tempuh masa beberapa tahun akan datang. Setiap penglibat terutama pengurus industri harus menyedari kepentingan untuk terus mengangkat industri kreatif sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini `dipandang` oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam `agenda penting` kedua pihak ini.

Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan baru-baru ini juga memperlihatkan hal ini apabila menyatakan secara jelas bahawa industri kandungan dan industri kreatif sebagai salah satu bidang keberhasilan utama negara. Ini adalah peluang yang harus direbut oleh industri filem tempatan untuk berkembang pada kadar yang lebih komptetatif.

Dalam konteks industri filem cereka secara khusus, bagi memenuhi hasrat itu, industri ini mencapaikan peningkatan dalam pasaran berasaskan kepenggunaan/ penontonan khalayak perdana bagi memastikan industri ini terus relevan dan mampu memain peranan sebagai sebuah industri dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia

Memahami sifat filem itu sendiri yang merupakan salah satu bentuk seni yang pastinya menimbulkan conflict of interest dalam hal ini, industri filem cereka harus ditadbir dan diurus secara profesional dan seimbang. Dengan bersifat sebagai sebuah karya seni, pastinya kadangkala berlaku percanggahan dengan kehendak pasaran semasa yang lebih berorentasi budaya popular. Klasifikasi filem sebagai komoditi ekonomi secara mutlak pula pasti akan tidak dipersetujui oleh sesetengah karyawan filem yang melihat filem sebagai medium mereka untuk berkarya, berekspresi mahupun mengupas permasalahan sosial semasa. Namun, jika mahu melihat industri filem cereka Malaysia, kedua-dua fahaman ini harus dilihat secara rasional dan seimbang. Dengan cara itu, barulah kita akan menemui pendekatan terbaik dalam mengendalikannya.


Penguasaan Pasaran Tempatan

Filem merupakan komoditi universal. Industri filem menjanjikan sebuah pasaran global yang semakin hari semakin berkembang. Bukan sahaja dari sudut pasaran antara negara, tetapi juga perkembangan teknologi yang memperkenalkan pelbagai platform penayangan. Ini sekaligus mempelbagaikan segmen pasaran bagi industri filem yang sememangnya bergantung besar kepada hasil dari jualan kutipan tiket dan jualan hak tayangan dan hak pengedaran (right).

Namun, dalam situasi semasa filem cereka tempatan yang masih belum mampu memainkan peranan besar dalam pasaran global, elok rasanya jika penulis memfokuskan terlebih dahulu kepada persoalan filem cereka Malaysia dalam pasaran filem tempatan, khususnya dari pemameran di pawagam

Sebagai filem cereka, pulangan yang paling menjadi tumpuan para pelabur dan penerbit semestinya dari kutipan di pawagam. Dalam tempoh lima tahun terakhir ini, kita dapat melihat jumlah kutipan filem cereka Malaysia di pawagam meningkat dari tahun ke tahun. Banyak pihak melihat peningkatan kutipan ini memperlihatkan pembangunan industri filem cereka Malaysia.

Persoalannya, sejauh mana peningkatan nilai kutipan pawagam tersebut dapat ditakrifkan sebagai pembangunan industri filem cereka Malaysia dalam erti kata sebenar. Bagi penulis secara peribadi, pembangunan industri filem cereka Malaysia, dalam konteks konteks filem sebagai komoditi ekonomi, tidak harus dinilai secara cetek sedemikian.

Peningkatan taraf hidup masyarakat yang sekaligus menaikkan harga tiket pawagam harus diambil kira. Selain itu, pertambahan jumlah penduduk di Malaysia juga harus diambil perhatian. Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan awal, jumlah penduduk Malaysia pada Bancian Penduduk 2010 adalah berjumlah hampir 29 juta bebanding 24 juta sepuluh tahun dahulu.

Dengan peningkatan jumlah penduduk, peningkatan jumlah pawagam, serta peningkatan harga tiket, adakah kadar peningkatan nilai kutipan tiket filem cereka kita selari dengan kadar pertambahan tiga elemen tersebut.

Jika perbandingan dibuat, antara kutipan kebanyakan filem tempatan kini yang mengutip sekitar RM2 juta dengan filem Adik Manja tayangan tahun 1979 dengan kutipan yang hampir sama, pastinya ia harus dilihat sebagai penurunan pasaran.

Jika dahulu filem cereka Malaysia ditayang hanya sekitar 20 salinan filem, filem kini kebanyakannya antara 45 hingga 65 salinan, iaitu meningkat lebih 150%. Jadi, jika ia mengutip jumlah kutipan yang sama atau hampir sama, adalah sukar sekali untuk melihat ia sebagai peningkatan dalam pasaran.

Bolehkah filem Adnan Sempit yang mencatat RM7.66 juta dianggap lebih berjaya dari filem Sembilu 2 yang mengutip RM6 juta lebih 15 tahun yang lalu? Ini belum mengambil kira aspek kos penerbitan dan membuat salinan filem itu sendiri yang pastinya meningkat dari hari ke hari.

Seorang ahli akademik, Dr Mahadi J Murad pernah menyuarakan pendapat bahawa, dengan industri pemameran filem yang semakin meningkat dari masa ke masa, pendekatan yang sesuai untuk menilai kredibiliti pembangunan dan peningkatan industri filem cereka Malaysia ialah melalui penguasaan pasaran oleh filem cereka tempatan dalam pasaran tempatan.

Jika pendekatan ini diambil kira, bagi tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, penguasaan filem cereka Malaysia dalam jumlah kutipan filem cereka di Malaysia bukan sahaja tidak meningkat, malah menurun dari 14.43 % pada tahun 2005 kepada 13.66% pada 2009.

Oleh itu, satu pendekatan baru harus difikirkan dalam mengukur prestasi pembangunan industri filem Malaysia, dan bukan hanya melalui peningkatan kutipan di pawagam semata-mata. Pihak bertanggungjawab harus memikirkan pendekatan yang paling adil dan sesuai dalam hal ini.


Senario Pelaburan Semasa

Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi.

Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, secara rambang, kemasukan pelabur dalam bidang perfileman khususnya penerbitan dan pemameran (pawagam) semakin meningkat.

Dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu dan syarikat persendirian. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC), serta Dana Industri Kreatif yang masih diperingkat awal perlaksanaannya. Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).

Ketidakyakinan para pelabur korporat diyakini atas faktor industri perfileman sendiri yang dilihat tidak mempunyai jaminan pulangan yang pasti disamping ketiadaan persekitaran industri yang kondusif dan diyakini. Bajet 2011 yang dibentang oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 hanya memperuntukkan sekitar RM200 juta atau 0.09 % dari bajet negara untuk industri kreatif. Jumlah tersebut pasti lebih rendah bila dibahagikan kepada semua bidang dalam industri kreatif termasuk industri filem cereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan tahap komitmen dan keyakinan pihak kerajaan secara langsung kepada industri filem cereka yang pastinya turut mempengaruhi keputusan para pelabur. Para penglibat industri harus bekerja lebih keras untuk meraih keyakinan yang lebih baik dari pihak kerajaan.

Dengan tidak menafikan kepentingan pelaburan individu dan syarikat persendirian, pertambahan pelabur korporat khususnya dari syarikat senarai awam (public listed company) dirasakan perlu kerana secara tidak langsung mampu membina reputasi sebuah industri yang kukuh dan diyakini. Ini juga kerana pelabur korporat biasanya merupakan pelabur serius yang konsisten dalam pelaburan berbanding pelabur individu yang kebanyakan bersifat sementara. Ini sangat penting bagi meyakinkan pengurus dana dalam membawa masuk pelabur ke dalam industri. Begitu juga dengan pelaburan dari syarikat-syarikat modal teroka (venture capital) dan syarikat dana ekuiti persendirian. Ini pasti dapat dipertingkatkan jika pihak kerajaan mengemukan insentif dan persekitaran pasaran & pelaburan yang kondusif dalam menarik perhatian para syarikat pengurus dana pelaburan ini.


Prospek Masa Depan

Industri filem cereka merupakan sebuah industri yang berdaya maju dan berdaya saing tinggi dalam kitaran ekonomi hari ini. Ini dapat kita lihat melalui keupayaan industri kreatif menjadi salah satu industri terpenting hari ini. Ini diakui oleh pihak UNESCO yang melalui kajiannya menjelaskan industri kreatif kini menjadi industri kedua terbesar di dunia. Peralihan sistem ekonomi dunia dari pengetahuan semata-mata kepada nilai tambah kreativiti dan inovasi juga memperlihatkan industri kreatif, termasuk industri filem dan industri kandungan menjadi sebuah industri yang sangat penting.

Perkembangan cara hidup kontemporari kini memperluaskan industri filem cereka dari hanya bergantung kepada aktiviti penerbitan, pengedaran dan pemameran semata-mata. Watak-watak dalam filem kini menjadi ikon yang mampu menjadi sebuah jenama. Filem mampu diedar dalam pelbagai platform termasuk home video, media baru dan sebagainya. Industri penyiaran yang berkembang seperti kemunculan saluran Astro First dan saluran televisyen berasaskan protokol internet (IPTV) secara tidak langsung meningkat jumlah segmen penjualan hak tayangan (right).

Kemunculan sub-pasaran seperti ini harus dipergunakan para penggiat dan pelabur filem cereka di Malaysia bukan sahaja meningkatkan perolehan, tetapi juga melihat kemungkinan dan kemampuan untuk lebih mempelbagaikan jenis kandungan yang ditawarkan kepada penonton. Ini termasuk kandungan untuk khalayak perdana hingga kepada kandungan untuk segmen pasaran altenatif (kandungan yang tidak sesuai untuk khalayak perdana). Segmen pasaran alternatif meskipun kecil, tetapi merupakan sebuah pasaran berpotensi besar untuk berkembang.


Penutup

Kemunculan para pengurus profesional generasi baru yang mempunyai pengkhususan kepakaran pengurusan industri kreatif dan industri filem diharapkan membawa sinar baru kepada industri filem cereka Malaysia. Pengurus yang memahami tuntutan survival dalam sistem ekonomi dan apresiasi terhadap produk berasaskan seni mampu mencari pendekatan terbaik mengurus sebuah industri yang kritikal seperti industri filem ini.

Inilah masa yang sesuai untuk industri filem cereka Malaysia untuk mendapatkan tempat yang sewajarnya sepertimana industri filem di Amerika Syarikat, India & Australia. Seharusnya slogan `Filem Malaysia ke Persada Dunia` yang dibawa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai agensi bertanggungjawab dalam industri ini bakal menjadi realiti dalam erti kata sebenar.


(Artikel untuk majalah Dewan Ekonomi, Edisi April 2011)